Dia
seorang lelaki, yang duduk di dalam peti surat dan kerjanya menulis.
Menulis untuk membuatkan ibuku bersedih. Namanya Bill. Ibu beritahu
namanya Bill. Dia hanya menulis apabila jendela peti surat tertutup,
biasanya di waktu malam, dan siap di waktu pagi. Tiap-tiap kali bila
aku cuba sorok-sorok mahu melihat dia menulis, dia lesap. Lama-lama
aku putus asa.
Aku tak
pasti apa yang ditulis Bill kepada ibu. Namun setiap kali ibu membaca
penulisan Bill, ibu menangis. Tapi ibu tak pernah serik, esok pagi,
perkara pertama yang ibu akan buat adalah periksa peti surat, jika
ada surat dari Bill lagi. Jika tiada, ibu akan membuat sarapan dan
hari itu akan berlalu seperti hari-hari biasa.
Aku tak
pasti sama ada perlu marah atau biarkan ibu sendiri. Maklumlah ini
urusan orang tua-tua. Semenjak ayah sudah tiada, ibu jadi seorang
manusia yang sedih. Semenjak ayah tiada juga Bill mula menetap di
dalam peti surat kami, dan menulis untuk ibu. Dia tidak menulis
hari-hari, selalunya pada 23, 27 dan 30 haribulan. Walaupun begitu
ibu tetap memeriksa surat Bill setiap hari, seolah-olah tak sabar
menunggu Bill melukakan hatinya lagi.
Ada suatu
hari tu aku tak tahan dan ambil keputusan untuk melemparkan peti
surat ke dalam dasar sungai di belakang rumah. Selang dua hari ibu
beli peti surat baru, yang lebih cantik, rumah yang lebih selesa
untuk Bill. Aku tak berani mempersoalkan ibu.
Tetapi
hari ini ibu menangis teruk. Menangis macam orang gila. Surat yang ditulis Bill kepada ibu
dicarik-carik dan dilemparkan ke lantai. Aku tak pernah tahu apa yang
ditulis dalam surat-surat itu. Bukan sebab ibu tak izinkan aku
membacanya, tapi sebab aku tak faham bahasa penulisan Bill. Ianya
tulisan tangan tapi bukan menggunakan abjad-abjad rumi, banyak
nombor, semuanya nombor dan titik-titik, kadangkala ada simbol
pusaran, segitiga dan titisan embun. Aku tak faham semua itu.
Aku cuba nak pujuk ibu. Aku tanya
pada ibu, kenapa? Ibu hanya mengusap-usap rambutku. Ibu meminta aku
tenang kerana ini surat terakhir yang ibu akan terima, lepas ini ibu
takkan menangis lagi, ini yang terakhir. Bill sudah tidak duduk dalam
peti surat kita lagi, dia ada tugasan lain di tempat lain. Sumpah.
Ibu
mengambil selembar kertas kosong dan sebatang pena. Ibu mula menulis,
dalam bahasa yang Bill guna. Ini kali pertama aku lihat ibu menulis.
Ibu menulis sambil berkata-kata, ini kali pertama aku dapat tahu apa
subjek penulisan antara Bill dan ibu.
“Terimakasih,
maaf jika aku tidak sempurna”
Ibu
mengemas beg ayah, letakkan beg itu di halaman rumah, letak surat
tadi di atas beg dan membakarnya. Selepas itu ibu membuat sarapan
pagi dan kami hidup seperti biasa. Bill tidak pernah menulis lagi.
Selamat
tinggal Bill, jangan datang lagi.