Thursday, June 4, 2015

Lelaki Yang Duduk Dalam Peti Surat

Dia seorang lelaki, yang duduk di dalam peti surat dan kerjanya menulis. Menulis untuk membuatkan ibuku bersedih. Namanya Bill. Ibu beritahu namanya Bill. Dia hanya menulis apabila jendela peti surat tertutup, biasanya di waktu malam, dan siap di waktu pagi. Tiap-tiap kali bila aku cuba sorok-sorok mahu melihat dia menulis, dia lesap. Lama-lama aku putus asa.


Aku tak pasti apa yang ditulis Bill kepada ibu. Namun setiap kali ibu membaca penulisan Bill, ibu menangis. Tapi ibu tak pernah serik, esok pagi, perkara pertama yang ibu akan buat adalah periksa peti surat, jika ada surat dari Bill lagi. Jika tiada, ibu akan membuat sarapan dan hari itu akan berlalu seperti hari-hari biasa.


Aku tak pasti sama ada perlu marah atau biarkan ibu sendiri. Maklumlah ini urusan orang tua-tua. Semenjak ayah sudah tiada, ibu jadi seorang manusia yang sedih. Semenjak ayah tiada juga Bill mula menetap di dalam peti surat kami, dan menulis untuk ibu. Dia tidak menulis hari-hari, selalunya pada 23, 27 dan 30 haribulan. Walaupun begitu ibu tetap memeriksa surat Bill setiap hari, seolah-olah tak sabar menunggu Bill melukakan hatinya lagi.


Ada suatu hari tu aku tak tahan dan ambil keputusan untuk melemparkan peti surat ke dalam dasar sungai di belakang rumah. Selang dua hari ibu beli peti surat baru, yang lebih cantik, rumah yang lebih selesa untuk Bill. Aku tak berani mempersoalkan ibu.


Tetapi hari ini ibu menangis teruk. Menangis macam orang gila. Surat yang ditulis Bill kepada ibu dicarik-carik dan dilemparkan ke lantai. Aku tak pernah tahu apa yang ditulis dalam surat-surat itu. Bukan sebab ibu tak izinkan aku membacanya, tapi sebab aku tak faham bahasa penulisan Bill. Ianya tulisan tangan tapi bukan menggunakan abjad-abjad rumi, banyak nombor, semuanya nombor dan titik-titik, kadangkala ada simbol pusaran, segitiga dan titisan embun. Aku tak faham semua itu.


Aku cuba nak pujuk ibu. Aku tanya pada ibu, kenapa? Ibu hanya mengusap-usap rambutku. Ibu meminta aku tenang kerana ini surat terakhir yang ibu akan terima, lepas ini ibu takkan menangis lagi, ini yang terakhir. Bill sudah tidak duduk dalam peti surat kita lagi, dia ada tugasan lain di tempat lain. Sumpah.


Ibu mengambil selembar kertas kosong dan sebatang pena. Ibu mula menulis, dalam bahasa yang Bill guna. Ini kali pertama aku lihat ibu menulis. Ibu menulis sambil berkata-kata, ini kali pertama aku dapat tahu apa subjek penulisan antara Bill dan ibu.


“Terimakasih, maaf jika aku tidak sempurna”


Ibu mengemas beg ayah, letakkan beg itu di halaman rumah, letak surat tadi di atas beg dan membakarnya. Selepas itu ibu membuat sarapan pagi dan kami hidup seperti biasa. Bill tidak pernah menulis lagi.


Selamat tinggal Bill, jangan datang lagi.