Sunday, July 29, 2018

Review Filem : Pulang (Khabir Bathia 2018)


1.Saya tonton filem ini atas dua sebab sahaja;

  i. Poster cantik. Poster cantik menunjukkan hala tuju seni yang betul.
  ii.  Ada satu review di fb yang puji melambung-lambung filem ni. Katanya ini filem terbaik dalam sejarah perfileman melayu
(wow.. really meh?)

2. Saya sangkakan cerita ni macam kisah survival seorang diri atas sampan, a la 'Cast Away'. Rupanya saya silap besar.

3. Sengaja saya tidak menonton trailernya kerana trailer filem melayu ada kecenderungan untuk mendedahkan semua plot-plot penting dalam filem tersebut. Biar saya masuk ke panggung dengan penuh kemisterian dan pengharapan.

4. Secantik posternya, cantik jugalah filemnya dari segi visual, malah lebih lagi. Angle, shot, sinematografi yang baik dan konsisten.



5. Satu lagi sebab yang mencantikkan filem adalah set. Ketelitiannya. Jika scene berlaku di Hongkong maka kelihatan benarlah ianya Hongkong circa 1960. jenis bangunannya, pertuturan Dan pemakaian rakyatnya dan lagu backgroundnya tepat. Samaada benar-benar mereka ke Hongkong ataupun hanya berlakon di pekan lama Ipoh sahaja tidaklah dapat kita mengesannya dengan mata kasar.



6. Latar tempat utamanya adalah Kg. Serkam (kg. Nelayan di Terengganu) pada latar masa pra, ketika dan pasca kemerdekaan tanah melayu. Kg. Serkam dalam filem ini adalah satu pemandangan yang begitu mempersonakan. Seolah-olah satu dokumentasi kehidupan nelayan sehari-hari di zaman itu. Kampungnya kecil, orangnya kenal semua satu sama lain dan begitu akrab. Ekonominya kais pagi makan pagi namun kehidupan mereka bahagia dan selamat.



7. Watak utamanya Othman (Remy Ishak) pada mulanya selesa dengan kehidupan begini, namun apabila berkahwin dengan Cik Tom (Puteri Aisyah) dia mula merasa kurang selasa dengan fasa kehidupannya yang mendatar dan hidup dalam kedaifan. Walaupun Cik Tom tidak pernah meminta apa-apa kemewahan, namun Othman terperangkap dalam minda jantannya yang mahu melakukan sesuatu untuk menaik taraf kehidupan mereka sekeluarga.

8. Pemikiran anak jantan Othman inilah yang menimbulkan pelbagai konflik sepanjang filem ini yang tidak perlulah saya ceritakan keseluruhannya. Cukuplah untuk saya katakan kita geram tetapi kita faham kenapa dia buat begitu begini.



9. Walaupun tidak berperenggan-perenggan seperti Cinta (karya Khabir Bathia sebelum ini) namun penceritaannya tetap sefasa demi sefasa. Ada satu fasa permasalahan sebelum merdeka, satu ketika, satu selepas merdeka dan satu lagi di zaman moden. Di ceritakan satu-satu dengan permulaan dan penamat yang jelas menggunakan teknik narration daripada watak Cik Thom di zaman moden.

10. Cik Thom pada akhir hayatnya cuba menceritakan segala sejarah dan dendam terhadap suaminya kepada cucunya Ahmad, Ahmad Izham Omar. Ya CEO TV3 itu, ini adalah kisah benar kehidupan orang tuanya yang diceritakan kepada Khabir Bathia dan kemudian diolah menjadi filem.



11. Runut bunyi.
Runut bunyi rasmi filem ini adalah Layarlah Kembali nyanyian Dayang Nurfaizah. Bagi saya lagu ini underutilized dan lagu sebenar yang meruntun jiwa penonton adalah lagu Sayang Disayang (Angin Menderu) lagu klasik nyanyian asal seniwati Rubiah. Setiap kali lagu ini berkumandang kita seolah-olah harus bersedia untuk tear-jerker moment. Lagu ini masih siulan isteri saya sehingga hari ini. Melekat, mencengkam kalbu.

12. Cukuplah 12 perenggan puji, kalau ada yang boleh dikritik, adalah piring hitam Angin Menderu yang sentiasa ada pada posesi Othman walaupun dia lemas, walaupun kapal dia karam. Takkan dia simpan piring hitam dalam poket seluar.

13. Secara keseluruhannya saya bagi pujian yang melambung juga. Sama dengan review yang saya baca terdahulu. Untuk bersetuju dengan kenyataan bahawa filem ini adalah filem melayu terbaik sepanjang zaman, ya saya juga bersetuju.

14. Jika ada bertanyakan bagaimanakah pula dengan filem P.Ramlee, Mamat Khalid dan Yasmin Ahmad, saya katakan karya mereka hebat secara kolektif, tetapi untuk a single piece of art yang penuh rencahnya, yang penuh erti kehidupan seperti karya p.ramlee, yang penuh ketelitian seperti mamat Khalid dan penuh dengan shot breathtaking seperti Yasmin Ahmad, maka Pulang ada semua ini.