Wednesday, April 15, 2015

Kisah Tauladan Yang Pilu; Episod 1 : Sekolah



Suasana hotel ini betul.

Herman memperbetulkan tempat duduknya, kerusi berangka kayu beralas baldu itu agak berat, maklumlah kerusi mahal di hotel mahal. Dia merenung tepat kepada individu di hadapannya, kemudian mengalih pandangan pada sepinggan Stirloin Steak yang dipesannya sebentar tadi. Medium rare, tidak terlalu masak dan tidak terlalu berdarah. Kualitinya bagus.

Setelah menghadam satu potongan kecil daging premium itu, dia meletakkan pisau garfu dan meneguk air, mahu memulakan bicara. Individu dihadapannya makan dengan sopan dan agak tersipu-sipu, kontrol ayu barangkali. Hati Herman tenang takkala memandang wajahnya.

Hartini, gadis yang dikenalinya empat bulan lalu di sebuah acara makan malam sempena menyambut perayaan Vaisakhi. Herman pun tidak pasti apa sebenarnya perayaan Vaisakhi ini, yang dia tahu kerajaan negeri nak bagi makan free dan dia pergi. Disitu dia terserempak dengan Hartini, manis wajahnya, mengenakan pakaian tradisi kaum sikh, Hartini kelihatan persis bintang filem Bollywood Kareena Kapoor di mata Herman dan Herman memang menyukai Kareena Kapoor.

Selepas kejadian itu mereka berkenal-kenalan dan kemudian bercinta-cintaan. Mengenangkan usia Herman yang tidaklah muda lagi, Herman bercadang tidak mahu bercinta lama dan ingin terus mengikat janji pertunangan. Lagipun tidak ada apa kurangnya Hartini di mata Herman, apa yang Herman suka Hartini suka juga, seperti aktiviti jungle trekking, memancing dan sekali-sekala memburu kijang. Cuma Hartini selalu melarang Herman menembak kancil kerana baginya kancil terlalu comel untuk ditembak dan dimakan.


"Awak, saya tahu kita baru kenal tapi saya rasa dah sampai masanya.." Herman memulakan bicara.

Hartini tersedak, sama ada dia terkejut ataupun potongan daging T-Bone Steak yang dipesannya terlalu besar untuk dihadam. Mukanya merah padam sebelum dia meneguk Sparkling Water perisa epal dan terus tenang kembali.

"Masa apa sayang?" jawab Hartini ringkas, tetapi lebih kepada soalan balas berbanding jawapan.

"Masa untuk mengenali masing-masing dengan lebih dalam, dengan lebih serius. Sebelum ini kita jarang bicara hal remeh temeh, hal-hal silam sebelum saya kenal awak. Saban hari kita hanya bersembang mengenai umpan-umpan apung, lubuk-lubuk di sungai pahang dan perkara-perkara berburuan." balas Herman dengan serius.

"Tapi itu kan hobi u sayang. U nak tahu pasal apa? Kisah-kisah silam I? Hmm.. boringlah. I lebih suka dengar U bercerita tentang spesis-spesis ikan patin dan harga-harga mereka di pasaran ataupun kisah-kisah kelakar U yang tertembak diri sendiri ketika memburu kijang tempohari" Hartini tertawa kecil.

"Saya tau awak memang unik, saya tak pernah kenal dengan mana-mana perempuan yang begitu memahami dan mendalami hobi saya. Tapi sebagai pasangan awak, saya rasa saya perlu tahu kisah peribadi awak, kisah keluarga awak, bukan kisah keluarga pelanduk atau kijang."

"Baiklah, misalnya dulu awak sekolah di mana? Awak tak pernah beritahu saya, yang saya tahu awak lulusan Mass Comm di Uitm Shah Alam, tapi sebelum itu?" Herman seolah mendesak.

"I bersekolah di SK Selayang Baru 1, Selayang Selangor. Sekolahnya cantik, banyak dihiasi rimbunan buluh jepun dan logo sekolahnya pula adalah seekor kancil yang memegang pensil dan buku. Sebab itu I jadi berat hati jika U mahu menembak kancil."

Jawapan ringkas Hartini dirasakan terlalu ringkas bagi Herman.

"Sekolah menengah?"

"Emm tanya pasal sekolah lagi? Emm.. I taknak jawab, dan I takkan jawab soalan tu. No"

"Tidak, awak mesti jawab soalan ini, gerak hati saya mengatakan soalan ini penting walaupun pada dasarnya saya juga merasakan soalan ini tidaklah sepenting mana"

Hartini tiba-tiba menjadi gelisah seolah-olah jawapan itu mampu menimbulkan plot twist kepada perjalanan temu janji mereka ini. Dia meneguk habis air sparkling water epal. Beg tangan jenama Guccing miliknya dikemas seolah-olahnya dia mahu beredar sahaja dari situ.

Air mata Hartini menitis-nitis kecil lalu dia bingkas bangun.


"Untuk pengetahuan U, kalau U nak tahu sangat kan,
 I dulu sekolah MCKK"

Selepas kejadian itu, Herman tidak lagi keluar memburu dan tidak lagi menetap di Pahang. Urusan jodohnya diserahkan kepada kedua ibu-bapa.





The Malay College Kuala Kangsar (Kolej Melayu Kuala Kangsar,) abbreviated as Malay College, MCKK, is a premier residential school in Malaysia. It is an all-boys and all-Malay school in the royal town of Kuala Kangsar, Perak.








No comments:

Post a Comment